fb fb fb fb fb

Kenaikan gaji penjawat awam bukan bahan kempen - Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

HULU SELANGOR, 3 Mei- Dakwaan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sebagai bahan kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu dinafikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perkara itu sebaliknya sudah lama diteliti oleh Kerajaan Perpaduan dan ia dirancang untuk diumumkan pada 1 Mei sempena sambutan Hari Pekerja 2024.

"Jika dilihat pada garis masa pengumuman itu dibuat, ia akan menjawab sendiri persoalan berkenaan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Aidilfitri di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini.

Saifuddin Nasution berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyifatkan pengumuman itu tidak memberi kesan kepada sokongan pengundi pada PRK berkenaan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ahli Parlimen Machang, dan pemimpin lain Perikatan Nasional (PN) diminta menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong atau tidak kenaikan gaji penjawat awam.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI