fb fb fb fb fb

Dakwaan langgar peraturan pilihan raya, Kor Ming sedia beri kerjasama SPR

Foto Fail: Nga Kor Ming/ BERNAMA

TELUK INTAN, 3 Mei- Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjalankan siasatan berhubung aduan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa pengumuman peruntukan RM5.21 juta, bulan lalu, menyalahi peraturan pilihan raya.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, peruntukan tersebut bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan MPHS bersempena Program Sentuhan Kasih yang dilaksanakan di bawah kementeriannya.

Jelasnya, perkara itu bukan menjadi isu yang menyalahi peraturan pilihan raya kerana pengumuman itu dibuat sebelum hari penamaan calon.

"KPKT bekerja sepanjang musim, kita tidak kira masa, waktu...tidak pernah kira penat lelah yang penting kita utamakan kesejahteraan rakyat.

"Jangan lupa pengumuman saya buat itu bukan dalam waktu kempen jadi ia tidak salah di sisi undang-undang seperti termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Ini memang sah, tidak salah pun kerana waktu itu penamaan calon belum lagi, siapa calon pun saya tidak tahu. Jadi, tiada kaitan langsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan bersama Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Dewan Bandaran, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa PN mendesak SPR supaya mengambil tindakan berikutan pengumuman peruntukan oleh Kor Ming menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu melanggar peraturan pilihan raya.

KPKT pada 18 April mengumumkan memperuntukkan RM5.21 juta membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

ZEHRA BINTI ZAMBRI