ALOR SETAR, 12 November - Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan tindakan pengisytiharan harta oleh ahli politik, namun ia perlu dilaksanakan sepanjang masa dan bukan dalam musim pilihan raya semata-mata.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebaliknya perkara itu perlu dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu bagi mewajibkan Ahli Parlimen mengisytihar harta masing-masing.
"Saya bersetuju (dengan pengisytiharan harta oleh ahli politik) tetapi bukan dekat dengan pilihan raya. Kita kalau hendak buat waktu mana kita tidak kira. Itu kita bercakap dalam dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas turun berkempen bersama calon PEJUANG bagi Parlimen Kuala Kedah, Ulya Aqamah Husamuddin, di Taman Bersatu, Jalan Batas Paip, dekat sini hari ini.
Terdahulu, sebahagian besar daripada 72 calon PKR membuat pengisytiharan harta masing-masing berikutan syarat parti itu yang mahu semua calonnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbuat demikian.
Mengulas mengenai kenyataan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang bercita-cita menjadi calon Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, sesiapa sahaja boleh menjadi calon kalau mereka memenangi kerusi yang ditandingi.
"Banyak orang yang layak (jadi calon Perdana Menteri), tapi sama ada dia menang atau tidak belum tentu. Bila dah menang esok, (nanti) cakap lah," kata penyandang Parlimen Langkawi itu. – BERNAMA
Berita berkaitan
Tiada keperluan isytihar harta kata Ismail Sabri
Terengganu sedia isytihar harta anggota DUN
97 peratus ahli Kabinet PN isytihar harta masing-masing - PM