REMBAU, 20 November- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia(SPR) mengumumkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai pemenang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Rembau (P.131) dengan undian 53,075 undi.
Datuk Seri Mohamad menang dengan majoriti 19,897 sekali gus menewaskan Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha yang mendapat undian 33,178.
Timbalan Presiden UMNO itu turut menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd Yunus dengan memperoleh 21,875; Pejuang, Ramly Awalludin, 529 dan calon Parti Sosialis Malaysia, S. Tinagaran, 779.
Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Rembau P.131, Encik Mohamad Najib Mustafa mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya bagi Parlimen Rembau itu sekitar pukul 12.50 tengah malam.
Sementara itu, penyandang kerusi parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tewas di Parlimen Sungai Buloh (P.107), kerusi yang pertama kali dipertandinginya.
(Calon Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin memuat naik satu entri di media sosialnya malam tadi
merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi)
Kemenangan berpihak kepada wakil Pakatan Harapan (PH), Ramanan Ramakrishnan dengan jumlah keseluruhan undi sebanyak 50,493 menewaskan enam calon lain.
Ramakrishnan menang dengan majoriti 2,693 undi sekali gus meneruskan perjuangan bekas penyandang kerusi tersebut, Sivarasa Rasiah untuk pilihan raya kali ini.
Khairy meraih jumlah undi sebanyak 48,250 diikuti wakil Perikatan Nasional (PN), 29,060 undi manakala Pejuang dan Parti Rakyat Malaysia masing-masing dengan jumlah undi 829 dan 279.
Dua lagi calon bebas, Syed Razak Alsagoff dan Sifu Linda turut merekodkan jumlah undi 165 dan 113.