fb fb fb fb fb

Adam Adli teraju Hang Tuah Jaya, kekalkan kerusi PH sejak 2013

Foto FB Adam Adli

AYER KEROH, 20 November- Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut sejak PRU13 bagi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya (P.137) apabila menang majoriti 8,638 undi.

Calonnya, Adam Adli Abd Halim mendapat jumlah keseluruhan undian 39,418 undi menewaskan tiga calon lain yang diwakili oleh Barisan Nasional, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali menerima 30,780 undi, wakil Perikatan Nasional, Mohd Azrudin Md Idris meraih 23,549 undi dan wakil Pejuang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merekodkan undi sebanyak 739 undi.

Menurut Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Md Azhan Samat, sebanyak 737 kertas undi ditolak di parlimen itu.

Keputusan tersebut menyaksikan Adam Adli meneruskan legasi PH yang sebelum ini diwakili oleh Datuk Seri Haji Shamsul Iskandar pada PRU14 yang lalu.


(Wakil PH, Adam Adli Abd Halim memuat naik ciapan di Facebooknya merakamkan ucapan
terima kasih buat pengundi Hang Tuah Jaya/FB Adam Adli)

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Khoo Poay Tiong mempertahankan kerusi Parlimen Kota Melaka dengan majoriti 46,420 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Khoo Poay Tiong memperolehi 73,995 undi meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Suhaimie Borhan yang memperoleh undi sebanyak 27,575.

Calon Barisan Nasional , Kon Qi Yao meraih undi sebanyak 20,686 manakala Datuk Dr Norazlanshah Hazali daripada Bebas mendapat 925 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Muhammad Ikram Ibrahim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRU15 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu, Melaka pada jam 11.30 malam tadi.

Beliau berkata jumlah peratus pengundi yang mengundi di Parlimen itu adalah sebanyak 76.04 peratus.

Menurutnya, jumlah undian oleh pemilih adalah sebanyak 123,181 manakala jumlah kertas undi yang ditolak adalah sebanyak 1,338 dan jumlah kertas undi tidak dikembalikan sebanyak 297.

Media Baharu