KUALA LUMPUR, 17 November - Orang ramai dinasihat agar tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu yang membangkitkan kegelisahan serta rasa takut mengenai ketenteraman awam menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menerusi kenyataan berkata tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang cuba menimbulkan provokasi sekali gus boleh mengancam keselamatan negara.
Dalam pada itu, pelbagai elemen telah digerakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran hari pengundian yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Setakat ini, proses penamaan calon telah berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa insiden kecil yang berjaya ditangani dengan baik.
Sementara itu, dalam tempoh berkempen, keadaan keselamatan adalah terkawal tanpa berlaku sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam.
(Foto Hiasan)