fb fb fb fb fb

CUEPACS selar tindakan ahli politik ugut penjawat awam ketika berkempen

KUALA LUMPUR, 17 November - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat menyelar tindakan ahli politik yang menyerang penjawat awam ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Adnan berkata, modal kempen yang dilakukan oleh ahli parti tidak sepatutnya bersifat menyerang atau mengugut penjawat awam.

Katanya lagi, perbuatan mengugut akan mengambil tindakan kepada penjawat awam tertentu sekiranya mempunyai kuasa kelak adalah tidak wajar dan tidak profesional.

"Semua pihak harus mengetahui bahawa setiap perkara yang dilakukan oleh penjawat awam adalah berlandaskan undang-undang dan semangat profesionalisme yang tinggi tanpa mengambil kira soal politik kepartian.

"Seharusnya calon atau ahli politik yang berkempen sepanjang pilihan raya tidak keterlaluan menyerang perkhidmatan awam.

"CUEPACS memahami terdapat ahli politik yang tidak dapat mengawal emosi ketika berkempen, apatah lagi di hadapan ribuan penyokong masing-masing.

"Namun, perkara itu tidak menghalalkan serangan atau ugutan secara terbuka terhadap penjawat awam dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.



Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru malam tadi, Rafizi Ramli memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika gabungan itu memenangi PRU15 Sabtu ini.

Adnan berkata, SPRM tidak pernah mendedahkan pegawai badan anti-rasuah itu melakukan serbuan ke pejabat mana-mana ahli politik dalam tempoh berkempen ini.

"Perkara itu hanya diketahui oleh umum apabila ahli politik terbabit yang mendedahkannya kepada pihak umum.

"Justeru, dalam tempoh kempen yang hanya berbaki sedikit masa lagi ini CUEPACS berharap semua pihak menghormati satu sama lain.

"Keharmonian antara ahli politik dan perkhidmatan awam amat penting kerana kedua-dua pihak seharusnya bekerjasama untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Media Baharu