(Kerusi Parlimen Pagoh berdepan saingan tiga penjuru)
PAGOH, 5 November- KerusiĀ Parlimen Pagoh P143 menyaksikan saingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) diwakili bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Razali Ibrahim, PKR diwakili calon pertama kali bertanding, Iskandar Shah Abd Rahman, manakala Perikatan Nasional (PN) diwakili penyandang kerusi itu yang menang pada PRU14, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kesemua calon mengemukakan borang pencalonan masing-masing sejam sebelum tempoh penamaan tamat tepat pukul 10:00 pagi.
Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Muhammad Helmi Ya'kub setengah jam selepas tempoh pencalonan ditutup.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, terawal menyerahkan borang pencalonannya sebaik pusat penamaan dibuka.
Sementara calon PH, Iskandar Shah menjadi individu kedua tiba di pusat penamaan calon diikuti calon BN, Datuk Seri Razali Ibrahim.
Proses penamaan calon berjalan lancar, tanpa sebarang kejadian tidak diingini meskipun berlaku perang mulut antara para penyokong BN dan PN.
(Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya,
Muhammad Helmi Ya'kub (kiri)setengah jam selepas tempoh pencalonan ditutup)
Suasana di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh di sini, sedikit tegang apabila penyokong kedua-dua parti berkenaan masing-masing bersorak dan berbalas 'ejekan' antara satu sama lain.
Penyokong-penyokong ditempatkan secara bersebelahan dengan penjarakan kira-kira lima meter dan keadaan terkawal dengan anggota polis ditempatkan di kawasan terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Bagaimanapun, suasana ruang berhimpun penyokong PH tidak semeriah penyokong BN dan PN dengan jumlah kehadiran penyokong yang sedikit.
Kesemua calon akan menjalani proses kempen pilihan raya selama dua minggu, sebelum hari pengundian pada 19 November ini.