GUA MUSANG, 2 Ogos- Tiga laluan utama di Gua Musang akan ditutup bermula pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengahari, bagi melancarkan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, esok.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laluan itu termasuk Jalan Persiaran Raya bermula dari lampu isyarat Persimpangan Mahkota sehingga lampu isyarat Persimpangan Bendahara dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
“Polis juga memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pegawai polis bertugas bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang proses penamaan calon,” katanya menerusi kenyataan.
Seramai 579 pegawai dan anggota PDRM dari seluruh Kontinjen Kelantan akan digerakkan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.
Manakala, untuk penugasan pada hari mengundi, 995 pegawai dan anggota PDRM akan digerakkan bagi memastikan ketenteraman awam di Daerah Gua Musang dalam keadaan terkawal.
Beliau turut mengingatkan semua calon yang bertanding agar mematuhi segala undang-undang serta akur akan peraturan dan tidak melakukan kesalahan- kesalahan yang boleh mengganggu kelancaran proses pada Hari Penamaan calon.
Calon dan wakil calon dinasihatkan mengawal emosi penyokong untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap penyokong parti lain, selain tidak dibenarkan mengadakan perarakkan atau konvoi kenderaan untuk mempamerkan kehebatan parti.
Datuk Muhamad Zaki dalam kenyataan media turut menasihati orang ramai dan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan sebaik mungkin serta mengenal pasti laluan yang ditutup disamping menggunakan laluan alternatif bagi mengelak dari sebarang kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh laluan ditutup.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan sepanjang tempoh PRK DUN Nenggiri berlangsung. Ini merangkumi lokasi tumpuan ramai seperti pusat penamaan calon dan pusat pengundian serta premis yang terbabit dalam proses pilihan raya.
Larangan ini juga termasuklah tiga tarikh penting sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan hari pengundian pada 17 Ogos 2024 ini.
Larangan sama turut termaktub sepanjang 14 hari tempoh berkempen yang bermula sejurus hari penamaan calon dilaksanakan pada 3 Ogos 2024.
Larangan itu juga adalah bagi memastikan kelancaran PRK DUN Nenggiri, selain mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini terutama membabitkan aspek keselamatan orang ramai khususnya pengundi.
"Semua aktiviti pengendalian dron di negara ini adalah tertakluk mengikut Seksyen 4, Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98 dan Peraturan 104-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Aviation Directives (CADS)", katanya.
Polis mengingatkan semua pihak agar terus bersikap matang dan hormat menghormati antara satu sama lain serta elakkan daripada melakukan sebarang perbuatan atau provokasi dan tidak menyentuh perkara yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam termasuk melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen PRK DUN Nenggiri.