GUA MUSANG, 29 Julai- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan terhadap perubahan Nenggiri dalam tempoh setahun sekiranya pengundi memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Ahmad Zahid berkata, banyak agenda pembangunan dan kebajikan akan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan keseluruhannya.
"Insya-Allah jika kemenangan memihak kepada Azmawi sebagai menteri yang menjaga kampung tradisional dan luar bandar, Awi, abe akan tolong. Ini semua boleh dilakukan kerana kerajaan pusat adalah bawah Kerajaan Perpaduan.
"Jadi amat rugi orang Nenggiri tidak memilih calon BN yang akan berjumpa dengan saya, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas panduan pengerusi perhubungan kerana yang akan untung adalah orang Nenggiri keseluruhannya," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Jentera BN PRK Nenggiri di Bukit Cekati, Gua Musang.
Beliau yang Pengerusi BN menyifatkan pemilihan Mohd Azmawi sebagai calon adalah menepati kriteria WALI iaitu 'winnable' (boleh menang), 'acceptable' (diterima) serta 'likeable' (disenangi).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, calon BN kalah tipis dengan Perikatan Nasional (PN) iaitu 810 undi.
Justeru kali ini, jentera BN akan digerakkan untuk membantu rakyat selain memantapkan usaha yang perlu dilakukan bagi membantu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani merealisasikan kemenangan pada PRK itu.