GUA MUSANG, 3 Ogos - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri membuka tirainya hari ini dengan penamaan calon berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini.
Parti dan individu yang berhasrat bertanding akan diberikan masa sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nik Raisnan Daud mengumumkan nama-nama calon layak bertanding.
Seramai 579 pegawai dan anggota polis dari seluruh kontinjen Kelantan akan digerakkan bagi memastikan proses penamaan itu berjalan lancar.
Mengikut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca pada sebelah pagi diramal cerah, namun ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 16 Ogos.
Bagaimanapun, hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terlibat memilih mengundi secara pos.
Barisan Nasional (BN) telah menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.
PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi berkenaan yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri itu Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 18 Jun lepas, 20,259 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.
Ini adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang). - BERNAMA