GUA MUSANG, 3 Ogos - Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N. 43 Neggiri ditutup 10 pagi selepas sejam dibuka bermula 9 pagi tadi.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK N. 43 Neggiri, Nik Raisnan Daud di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis, Gua Musang di sini hari ini.
Terdahulu, penyokong calon yang bertanding mula berkumpul di sekitar dewan berkenaan seawal 7 pagi dan cuaca baik ketika proses penamaan berlangsung.
Ketika penamaan berlangsung dapat dilihat pelbagai ragam lautan merah, biru dan hijau membanjiri dan memberikan semangat serta sokongan kepada calon-calon yang dipilih bagi PRK N.43 Nenggiri di hadapan pusat penamaan di Kompleks Perdana.
Calon Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memasuki pusat penamaan calon tepat pukul 9.00 pagi dengan diiringi Presiden BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Manakala calon PAS Mohd Rizwadi Ismail yang diiringi Timbalan PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, memasuki Pusat Penamaan Calon tepat pukul 8.45 pagi.
Ini sekali gus, PRK N.43 Nenggiri 17 Ogos depan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon parti BN dan PAS.
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.