fb fb fb fb fb

Tiada saluran khas disediakan untuk pengundi kesihatan awam - KKM

FOTO BERNAMA

SUNGAI BULOH, 17 November- Tiada saluran khas disediakan untuk pengundi yang dijangkiti COVID-19 tidak kritikal atau pengundi kesihatan awam.

Sebaliknya, pengundi berkenaan perlu memaklumkan kepada pegawai kesihatan yang akan ditugaskan di pusat pengundian dan akan diiringi oleh pegawai tersebut untuk proses mengundi.

Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pengundi kesihatan awam juga wajib melaporkan status kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera.

"Kepada individu positif COVID-19, sila perkenalkan diri anda kepada petugas KKM. Petugas KKM akan menyemak status dalam MySejahtera terlebih dahulu dan anda akan diiringi petugas sehingga ke pintu masuk bilik mengundi. Mereka tidak akan beratur pada hari pengundian bersama pengundi biasa yang lain," jelas Khairy kepada media dalam sidang media khas berhubung status terkini COVID-19 negara, hari ini.

Pengundi kesihatan awam wajib menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat pengundian dan membawa pensanitasi tangan sendiri adalah disyorkan.

Tambah beliau lagi, pengundi kesihatan awam juga perlu pulang segera dan menyambung semula kuarantin di rumah.

Pengundi kesihatan awam diwajibkan memakai pelitup muka manakala pengundi biasa digalakkan memakai pelitup muka dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu