SINTOK, 17 November - Seramai 249 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di lokaliti masing-masing pada Sabtu ini.
Pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Iqmal Qamil Mawar ketika ditemui RTM berkata, dia berasa teruja kerana akan mengundi buat kali pertama dalam pilihan raya kali ini.
Keterujaan itu turut dikongsi pelajar Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Chan Wen Hui yang telah menunggu bas bersama rakan-rakannya seawal 7.30 pagi untuk pulang ke kampung di Teluk Intan, Perak.
“Saya berasa gembira sebab sudah lama tidak balik kampung untuk berjumpa ibu bapa dan keluarga tersayang. Menariknya kali ini saya akan mengundi buat pertama kali untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang warganegara.
“Pada pilihan raya kali ini, saya ingin memilih kerajaan yang bertanggungjawab dan bijak dalam mentadbir negara, memenuhi aspirasi, serta keperluan rakyat,” katanya kepada RTM.
Manakala pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Reenha Rajendran mahu memanfaatkan peluang untuk mengundi selain meluangkan masa bersama keluarga sempena cuti semester sehingga 26 November ini.
“Pilihan raya adalah satu proses untuk memilih calon yang sesuai untuk memerintah. Calon ini akan menjadi wakil kepada rakyat. Mengundi pula adalah tanggungjawab rakyat Malaysia yang wajib dilaksanakan sebagai tanda sayang pada negara,” katanya.
(Dari kiri - Reenha Rajendran, Chan Wen Hui, dan Muhammad Iqmal Qamil Mawar)
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Nur Qistina Aqilah mahu memilih pemimpin yang bersih, berintegriti, serta boleh berkhidmat untuk rakyat dan bukan melakukan sesuatu untuk kepentingan diri.
Dia turut menyambut baik keputusan kerajaan meminda untuk penurunan had umur mengundi daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.
“Pada saya, undi 18 tahun amat bagus sebab suara orang muda dapat didengari dan mahasiswa dapat memainkan peranan dalam memilih kerajaan.
“Saya berharap kerajaan baharu yang akan menerajui negara ini dapat memperkasakan sistem pendidikan dan melaksanakan pemerintahan yang adil kepada rakyat tanpa mengira bangsa,” ujarnya yang akan pulang ke Ipoh.
Kesemua mereka akan menaiki lapan buah bas percuma yang diselaraskan oleh Kelab Patriot Chapter Perak UUM sebagai alternatif untuk mahasiswa pulang mengundi pada PRU15 kali ini.
Dalam pada itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menerusi kenyataan, berharap setiap pelajar dapat memainkan peranan sebaiknya untuk memilih calon yang menepati kriteria selaku pemimpin.
Beliau turut mendoakan agar semua pelajar yang pulang ke kampung tiba dengan selamat di destinasi masing-masing.
Pada PRU15 kali ini, dijangka 33,000 pelajar UUM keluar mengundi buat kali pertama selepas Undi18 diwartakan dan dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu.