JOHOR BAHRU, 9 Mac - Tiada Operasi Khas akan dijalankan polis trafik Johor bersempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri itu.
Ini meskipun terdapat pertambahan kenderaan hingga 60% yang tertumpu ke Johor, ketika ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M. Kumaresan berkata pihaknya bagaimanapun telah meningkatkan rutin operasi penguatkuasaan trafik yang menumpukan kepada enam kesalahan trafik.
"Trafik ini kesalahan rutin seperti memotong di garisan berkembar, potong barisan, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
"Tetapi yang paling kita utamakan adalah kesalahan mandatori iaitu memandu dalam keadaan mabuk serta memandu secara melulu. Kita kategorikan sebagai samseng jalanan kerana ini adalah punca utama kemalangan maut," katanya ketika ditemui RTM di Pejabat JSPT, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
(M. Kumaresan ketika bercakap kepada RTM hari ini)
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya turut ditugaskan untuk membuat pemantauan di lokasi-lokasi ceramah politik yang sudah mendapat permit.
Ia bagi memastikan tiada halangan, kesesakan lalu lintas dan provokasi yang menjejaskan aliran trafik.
Katanya, hingga 80 ceramah politik dipantau setiap hari.
"Jangan ada sebarang provokasi, kita selamat sampai ke Johor dan kita akan balik ke destinasi masing-masing dengan selamat.
"Saya minta juga jangan ada meletakkan kenderaan ditempat yang boleh mengganggu ketenteraman awam, trafik tidak akan kompromi dengan mana-mana orang yang melakukan kesalahan lalu lintas," katanya.