(Calon BN Mahkota, Sharifah Azizah Syed Zain)
KLUANG, 9 Mac - Menjelang hari pengundian Sabtu ini bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor, calon-calon yang bertanding di N29 Dewan Negeri Mahkota lebih banyak menumpukan kempen secara bersemuka terutama di premis makanan.
Jadual calon juga lebih padat berbanding sebelum ini, berikutan tempoh berkempen bakal tamat.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mengakui berdepan cabaran untuk bertemu semua penduduk disebabkan kawasan Mahkota yang besar.
Kempen hari ke-12 dimulakan beramah mesra dengan pengunjung restoran selain mengedarkan bahan kempen.
"Saya banyak melakukan walkabout bertemu dan mendekati semua lapisan masyarakat kerana lebih selesa dengan cara itu. Kempen secara dalam talian juga dilakukan oleh jentera saya," katanya.
Pagi tadi juga Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan bertemu serta beramah mesra dengan pengunjung di medan selera di Kluang.
(Calon PN Mahkota, Mohamad Nor Lingan)
Beliau turut menumpukan kempen secara dalam talian.
"Selain bersemuka, saya manfaatkan juga kempen secara dalam talian kerana ia satu kelebihan terutama rata-rata anak muda merupakan pengundi dan memiliki telefon pintar," katanya.
Dewan Negeri Mahkota menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, PN, PH dan Warisan.