fb fb fb fb fb

Tengku Razaleigh Hamzah sifatkan Mohd Azmawi Fikri calon terbaik

Tengku Razaleigh Hamzah

GUA MUSANG, 14 Ogos- Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon terbaik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Barisan Nasional (BN) atau lebih dikenali sebagai Awie dilihat mampu untuk mempertimbang perkara yang dituntut oleh rakyat di kawasan berkenaan.
 
"Dia (Mohd Azmawi Fikri), setahu sayalah orang yang boleh diharap. Dia bukan sahaja Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang yang memegang jawatan sekian lama, kini menjadi Ketua Pemuda UMNO Kelantan.

"Jadi Awie berpotensi dan kita pun nak anak muda pelbagai peringkat lain turt serta menyertai lapisan sedia ada," katanya.

Tengku Razaleigh Hamzah yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri berkata demikian dalam sidang media selepas bertemu dengan veteran UMNO di Jeram Tekoh, Nenggiri di sini.

Mengulas lanjut, beliau turut yakin calon BN itu mempunyai kredibiliti dalam menunaikan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat di kawasan Nenggiri sekiranya diberikan mandat.
 
Dalam pada itu, pihaknya juga ingin membawa perubahan di kawasan tersebut termasuk pembelajaran, pendidikan dan latihan bagi memastikan penduduk di kawasan itu memiliki kemahiran sesuai dengan perkembangan baru.
 
Bagaimanapun perkara itu hanya boleh dilakukan sekiranya BN menerima mandat pada PRK tersebut.

"Kita mahu supaya peluang ini diberi kepada kita, semoga kita dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa perubahan kepada kawasan dan seluruh Kelantan.

"...sekiranya diizinkan kemenangan, kita boleh maju lagi ke depan," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI