fb fb fb fb fb

PRK Mahkota: Hari mengundi 28 September, penamaan calon 14 September - SPR

Ramlan Harun (tengah) mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRK Mahkota dalam sidang media di Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA, 13 Ogos- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota, Johor.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata, seramai 66,318 pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRK berkenaan.

"PRK Dewan Negeri N29 Mahkota, Johor memerlukan peruntukan sebanyak RRM2.4 juta," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, seramai 1,126 petugas dilantik bagi mengendalikan PRK tersebut, manakala Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.

Kerusi DUN Mahkota diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos.

Ahli Dewan Negeri Mahkota, Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

SITI AISHAH MD ISA