GUA MUSANG, 14 Ogos- Berbaki dua hari sahaja lagi akan tamat sesi berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri menjelang Hari Pengundian pada Sabtu ini.
Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani terus rancak, bertemu dengan pengundi di perkampungan orang asli di Pos Tohoi, di sini.
"Semestinya mereka mahu harapkan wakil rakyat mereka atau wakil kepada mereka yang ada disisi mereka. Harapan mereka adalah memiliki wakil rakyat yang sentiasa mendengar denyut nadi dan keinginan masyarakat.
"...khususnya orang asli di kawasan DUN Nenggiri. Semestinya saya akan beri khidmat bakti terbaik jika saya dipilih pada 17 Ogos nanti insya-Allah," katanya kepada pemberita di sini.
Lebih 20,000 pengundi termasuk 2,000 komuniti orang asli di DUN Nenggiri, layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK kali ini.
Ia membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada 17 Ogos nanti.