fb fb fb fb fb

Tarikh baharu mengundi di DUN N42 Tioman, 7 Disember 2022

(FOTO HIASAN)

PURTAJAYA, 19 November- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh baharu mengundi di DUN N42 Tioman adalah pada 7 Disember 2022.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menerusi satu kenyataan berkata, mesyuarat khas yang diadakan pagi tadi menetapkan bahawa pilihan raya DUN N42 Tioman, Pahang perlu diadakan semula susulan kematian calon Perikatan Nasional, Allahyarham Md Yunus Ramli.

"Hari penamaan calon dijadualkan pada Khamis, 24 November 2022 manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 3 Disember 2022 sementara hari mengundi pada 7 Disember 2022.

"Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November 2022 sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022," katanya.

Tambahnya, Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).

"Calon-calon layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

"Manakala, bakal-bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam PRU15 Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman, Pahang, hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon yang telah ditetapkan oleh SPR,"tambahnya dalam kenyataan tersebut.

Daftar pemilih terkini bagi DUN N42 Tioman, Pahang mengandungi seramai 28,465 orang pemilih yang terdiri daripada 28,200 orang pengundi biasa, 262 orang polis dan 3 orang pengundi tidak hadir luar negara.


(Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh)

Media Baharu