fb fb fb fb fb

'Syed Hussien, buatlah terbaik untuk Mahkota' - Ahmad Zahid

FOTO FACEBOOK Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 28 September- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota hari ini sebagai anugerah dan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

"Syukur Alhamdulillah, segala puji ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam - sekali lagi menganugerahkan kemenangan kepada calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien dengan majoriti luar biasa melebihi 20,000 undi," kata beliau menerusi Facebooknya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengenang jasa ADUN Mahkota terdahulu iaitu Allahyarham Sharifah Azizah yang telah mencurahkan seluruh jiwa raga kepada kawasan tersebut dan menjadi inspirasi kepada BN untuk terus berkhidmat di kawasan terbabit.

"Jasanya kekal dalam ingatan dan menjadi sumber aspirasi kami untuk terus berkhidmat menyantuni rakyat di DUN ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada 35,791 pengundi DUN N29 Mahkota yang telah memberikan mandat kepada kami untuk terus menabur bakti di bumi Kluang, Johor yang tercinta ini," katanya.

Tambah beliau, kemenangan di PRK Nenggiri pada Ogos lepas dan Mahkota bukanlah asbab untuk partinya mendabik dada, jauh sekali untuk berasa megah dan selesa. Sebaliknya, isyarat yang jelas daripada rakyat bahawa BN harus berusaha lebih kuat untuk memberikan terbaik demi kehidupan lebih sempurna pada masa akan datang.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan terima kasih kepada seluruh jentera BN dan rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan terutama jentera negeri Johor yang diterajui oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau menegaskan kerjasama kukuh dan semangat juang keseluruhan jentera tersebut sebagai pemangkin kejayaan.

"Terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi sokongan moral dan saya percaya kejayaan ini menandakan penerimaan rakyat kepada tadbir urus dan kepimpinan beliau.

"Insya-Allah, kami akan terus memperbaiki haluan perjuangan ini, menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan untuk UMNO dan Barisan Nasional, Kerajaan Perpaduan, dan seluruh rakyat Malaysia," ujarnya lagi.

Zahid menutup ucapannya dengan pesanan kepada Syed Hussien, "Buat anakanda Syed Hussien, ingatlah bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati. Buatlah terbaik untuk #MahkotaKita."

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA