KLUANG, 17 September- Slogan 'Maju Johor' yang dilaungkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat signifikan dengan perjuangan yang dibawa oleh Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussein Syed Abdullah bagi PRK Mahkota.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia dibuktikan dengan keterampilan serta reputasi ditonjolkan Syed Hussein dalam membangunkan agenda pembangunan DUN Mahkota.
Melaluinya, sebarang perancangan mahupun permasalahan dapat diselesaikan cara baik tanpa sebarang pertikaian memandangkan ia akan mendapat sokongan penuh kerajaan negeri.
"Salah seorang dari pasukan orang muda di nawah kepimpinan Onn Hafiz sudah tentu maju Johor ini sebagai satu agenda besar. Beliau mempunyai pengalaman sebagai ahli majlis tempatan, sudah tentu beliau dapat berperanan untuk menyelesaikan masalah tempatan dengan lebih efisyen.
"Saya nampak sambutan daripada pelbagai kaum sangat baik, penerimaan masyarakat terhadap calon ini amat memberangsangkan ada penduduk yang memegang tangan dia suruh bekerja kuat," katanya.
Sementara itu mengenai sokongan komuniti cina, Wee berkata, pengundi golongan tersebut dilihat kekal utuh bersama-sama BN.
Kelebihan Syed Hussein berinteraksi serta pemahaman mengenai budaya komuniti cina dilihat sebagai kelebihan tersendiri.
"Saya yakin kali ini pengundi cina lebih melihat kepada ketokohan, kedua tiada kekangan bahasa dan ketiga beliau faham kerana pernah menjadi ahli majlis di SJKC.
"Jadi ini merupakan satu kelebihan kepada calon. Sesungguhnya ciri-ciri Malaysia ada pada calon (Syen Hussein)," katanya.
Menyentuh dakwaan mengenai DAP dijadikan alat bagi UMNO untuk menarik pengundi cina dalam PRK Mahkota, Wee menyifatkan ianya sebagai senjata untuk melemahkan jentera parti dalam berkempen.
Baginya, unsur tersebut hanyalah untuk melemahkan semangat jentera parti dan beliau berharap tiada unsur tohmahan serta hasutan dimainkan dalam kempen PRK kali ini.
"Saya rasa jangan jaga tepi kain orang, bagi saya parti masing-masing akan bekerja kuat untuk memenangkan calon.
"Saya tidak kisah mengenai pandangan yang diberikan untuk melemahkan semangat, sebab kita sudah berkali-kali berdepan dengan PRK, Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU). Saya rasa kita itdak gentar," tegasnya.