fb fb fb fb fb

Sungai Bakap bakal membangun di bawah Joohari- Zahid Hamidi

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi/Foto RTM

SUNGAI BAKAP, 4 Julai-Lanskap pembangunan di Sungai Bakap akan berubah sekiranya Calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin diberikan mandat oleh rakyat Sabtu ini

Presiden UMNO, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi berkata selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beliau akan turut membantu Dr.Joohari membangunkan Sungai Bakap yang dikategorikan sebagai kawasan luar bandar.

Antaranya termasuklah menyediakan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), untuk membantu warga emas  serta meneruskan pembinaan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang terbengkalai.

Zahid turut berkata kemenangan calon dari kerajaan Perpaduan penting memandangkan banyak manfaat akan diperolehi sekiranya wakil rakyat dipilih selari dengan kerajaan pusat dan negeri.

"Dua cadangan ini penting dan saya berpandangan bahawa cadangan harus dilaksanakan.

"Saya juga akan membantu beliau membawa keperluan penduduk Sungai Bakap bagi memenuhi keperluan dan kemudahan yang diperlukan rakyat tempatan", katanya demikian selepas menghadiri perjumpaan Malam Kasih bersama Pemimpin di sini.

Turut Hadir Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta calon Perpaduan, Dr Joohari Ariffin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berharap agar jentera PH dapat bersama-sama membantu jentera BN dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil Dun N.43 Nenggiri yang dijadualkan pada 17 Ogos depan.

Ujar Zahid, kesungguhan jentera BN dalam membantu calon PH di Sungai Bakap dilihat sebagai imej positif kerjasama PH-BN.

Tambah Zahid pihaknya komited untuk mengekalkan kerjasama yang baik kerana PH sebelum ini telah membantu mereka dalam beberapa PRK dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kesungguhan kami bekerja adalah ikhlas dan kami yakin bila berlaku pilihan raya kecil di Nenggiri mereka pula akan membantu kami sebagai tanda jalinan kasih kami untuk mengerakkan jentera daripada parti-parti kompenan di dalam kerajaan Perpaduan untuk memenangkan calon kami pula", katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pada 3 dan 13 Ogos.

Ini berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, Mohd Azizi Abu Naim gugur keahlian BERSATU dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lalu oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD