SUNGAI BAKAP, 4 Julai-Pakatan Harapan (PH) memerlukan sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi untuk keluar mengundi bagi membolehkannya menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Sabtu ini.
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin berkata sasaran itu selaras dengan usaha tanpa henti beliau bersama jentera yang bersungguh-sungguh berkempen selama dua minggu bagi mendekati para pengundi.
"Kalau kita boleh dapat 80 peratus itu cukup baik. Sebab kalau kurang daripada itu, kita sudah tahu siapa menang. Tetapi itu hanya mewakili sebahagian kecil gambaran sebenar pengundi.
"Jadi saya berharap para pengundi dapat turun beramai-ramai untuk mengundi", katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Mengulas perjalanan kempen yang berbaki sehari, beliau berkata, pihaknya melihat kecenderungan pengundi muda ke arah peralihan undi mereka.
Hampir 85 peratus pengundi pula telah disantuni secara bersemuka dalam tempoh kempen dan yakin mampu habiskan 15 peratus lagi sebelum hari mengundi.