fb fb fb fb fb

PRK Sungai Bakap: Saifuddin nafi wujud sekatan ketika berkempen

Saifuddin Nasution Ismail

SUNGAI BAKAP, 4 Julai- Tiada sebarang sekatan dikenakan kepada mana-mana pihak sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis meluluskan kesemua permohonan 153 permit bermula 22 Jun lalu daripada semua pihak sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

"Yang memberi gambaran di luar sana seolah-olah kempen di pihak PAS dan PN itu semacam terkongkong, semacam diintip secara berlebihan... (saya nafikan).

"Jadi saya menolak sama sekali tohmahan nakal seperti itu kerana fakta yang saya bentangkan menunjukkan bahawa keadaan sangat tenteram, sangat aman.

"Kesemua keizinan (permit) kempen itu diberikan mengikut lunas undang-undang, tidak seperti diberi gambaran bahawa mereka diintip oleh sepasukan polis dalam jumlah berlebihan," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di sini.

Turut hadir Pengarah PRK Perpaduan N.20 Sungai Bakap, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

SITI AISHAH MD ISA