JOHOR, 19 September- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat menjalankan persiapan menjelang pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Mahkota pada 24 September ini.
Persiapan melibatkan peralatan proses mengundi di Dewan Mahkota Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud, Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.
Pengarah SPR Johor Nor Nekman Jaimon berkata, sebanyak 11 saluran dibuka di tiga pusat mengundi berkenaan melibatkan 84 petugas suruhanjaya itu.
Seramai 4,911 anggota polis, tentera dan pasangan akan melunaskan tanggungjawab masing-masing pada Selasa depan.
"Cuma yang pentingnya di sini adalah pengundi-pengundi kena keluar mengundi dan laksanakan tanggungjawab tuan-tuan puan-puan sebagai pengundi.
"...dan undi dengan bijak untuk memilih wakil pemimpin atau wakil rakyat bagi kawasan Dewan Negeri Mahkota berkenaan," katanya selepas menjadi tetamu Program Cakna Hak Anda Kawan di Konti JohorFM, di sini.
Proses mengundi awal dijadual bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang di ketiga-tiga pusat mengundi berkenaan.
Sementara itu sebanyak 607 kertas undi pos telah dikeluarkan SPR pada 15 September lalu.