fb fb fb fb fb

SPR seru pengundi Ayer Kuning keluar awal, peratusan masih rendah

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun bercakap pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor

BIDOR, 26 April- Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Ayer Kuning dilaporkan berjalan lancar dan terkawal di semua pusat mengundi sejak pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sehingga pukul 11 pagi, peratusan keluar mengundi hanya mencatatkan 26.36 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar.

"Sehingga pukul 11 pagi tadi, jumlah keluar mengundi ialah 26.36 peratus. Angka ini agak rendah, jadi saya mohon semua pengundi di Ayer Kuning agar keluar lebih awal untuk mengundi. Kita bimbang hujan pada sebelah petang, seperti yang sering berlaku kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor.

Tambahnya, setakat ini 36 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya telah diterima, kebanyakannya membabitkan bahan kempen. Daripada jumlah itu, lima laporan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Walaupun peratusan keluar mengundi masih rendah, SPR optimis jumlah tersebut berpotensi mencecah sekitar 70 peratus berdasarkan trend PRK sebelum ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE