BAGAN DATUK, 26 April- Kesepakatan Kerajaan Perpaduan berjaya diterjemahkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu jelas apabila bukan sahaja jentera BN, malah jentera Pakatan Harapan turut aktif membantu calon BN, Mohamad Yusri Bakir sepanjang kempen berlangsung.
"Sepanjang tempoh berkempen, saya ucapkan terima kasih bukan sahaja kepada parti komponen tetapi juga jentera Pakatan Harapan yang telah membantu kita. Kesepakatan ini seperti mana yang kita terjemahkan, sebagaimana kita pernah lakukan dalam PRK di Nenggiri, Johor," katanya.
Datuk Seri Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara 2025 di Bagan Datuk.
Beliau turut berharap agar peratusan keluar mengundi akan terus meningkat menjelang petang ini dan menyeru lebih ramai pengundi di Ayer Kuning untuk segera menunaikan tanggungjawab mereka.