fb fb fb fb fb

MB Pahang optimis BN kekal di Ayer Kuning

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR, 25 April- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail optimis bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Ayer Kuning, esok.

Perkara itu susulan pemerhatian daripada sepanjang tempoh berkempen yang dilakukan di Ayer Kuning.

“Insya-Allah melihat kepada jentera kita, usaha kuat jentera daripada mula dan ini adalah kesinambungan Allahyarham Isham Shahrudin, yang telah menunjukkan kerja yang baik.

“Saya percaya pengundi-pengundi di Ayer Kuning akan pilih calon daripada BN kerana selari dengan kerajaan Negeri dan memudahkan wakil rakyat yang dipilih nanti untuk menyampaikan masalah-masalah mereka kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang (PEKAP).

Dalam pada itu beliau juga menyeru anak-anak Pahang yang menetap di luar negeri itu untuk pulang ke kampung halaman dan mendaftar sebagai pengundi.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka kepada pandangan dan idea anak-anak Pahang dalam usaha membangunkan negeri.

"Apa salahnya balik ke Pahang, undilah. Kalau kerajaan negeri tak buat kerja, rakyat boleh pilih yang lain. Tetapi kalau kerajaan hari ini benar-benar menjaga rakyat, kekalkanlah kerajaan ini," katanya lagi.

Jamuan malam tersebut ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri Pahang dengan kos RM170,000 sebagai penghargaan kepada anak-anak perantauan yang terus mendukung aspirasi negeri itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI