(Keadaan banjir di pusat pengundian
Parlimen Baram di Long Bemang, Baram/FOTO JBPM Sarawak)
KUALA LUMPUR, 19 November - Sebanyak 11 pusat mengundi dalam Parlimen Baram, Sarawak bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) digantung susulan keadaan cuaca yang tidak baik, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Keputusan dibuat selepas melihat keadaan cuaca itu turut menghalang petugas untuk sampai ke tempat bertugas sama ada menerusi laluan udara, darat atau air.
Pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Long Naah bagi Saluran 1 dan 2; Sekolah Kebangsaan Long Luteng bagi Saluran 2; RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg Lepo Gah (Saluran 1 dan 2) dan Sekolah Kebangsaan Long Sait (Saluran 2); Sekolah Kebangsaan Long Tungan (Saluran 1 dan 2).
Sekolah Kebangsaan Long Moh (Saluran 1 dan 2); Sekolah Kebangsaan Long Mekabar (Saluran 1); Sekolah Kebangsaan Long Jekitan (Saluran 1 dan 2); Sekolah Kebangsaan Long (Saluran 2); Sekolah Kebangsaan Lio Mato (Saluran 1 dan 2) serta Sekolah Kebangsaan Long Banga (Saluran 1 dan 2).
"Tarikh baharu pengundian bagi Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran) akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian," katanya melalui kenyataan media hari ini.
Kerusi Baram menyaksikan pertarungan tiga penjuru.
SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi PRU15.
Berita Berkaitan:
Pengundi Limbang naik perahu redah banjir satu jam demi satu 'pangkah'