(Pengundi menaiki sampan untuk menuju
ke Pusat Mengundi di SK Pengkalan Jawa/RTM Delini)
LIMBANG, 19 November - Seramai 473 pengundi melibatkan 5 kampung di daerah ini meredah banjir semata-mata untuk sampai ke Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Jawa di sini bagi menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Mereka antara penduduk yang tinggal di kampung Pangkalan Jawa sendiri, Pangkalan Madang, Bawang Obor, Temalang dan Ranggu.
Akibat terputus hubungan laluan darat akibat dinaiki air banjir setinggi 1 meter menyebabkan pengundi tiada pilihan lain selain menaiki perahu untuk sampai ke pusat mengundi.
Bahkan bagi pengundi luar kawasan Pangkalan Jawa terpaksa menaiki perahu sejauh 1 kilometer dari jalan utama menuju ke pusat mengundi.
Allison Epis ditemui RTM berkata biarpun berdepan kepayahan untuk mengundi akibat banjir namun mereka tetap menunaikan kewajipan.
"Bagi saya tiada masalah yang penting kita mempunyai semangat untuk mengundi walaupun keadaan banjir, tapi kami tetap meredah banjir menggunakan perahu.
"Kenderaan pula saya tinggalkan lebih kurang satu kilometer dari sini sebab terputus jalan tapi demi tanggungjawab saya tak peduli," katanya
(SK Pengakalan Jawa, Limbang ditenggelami air)
Pelebius Kulob pengundi di SK Pengkalan Jawa berkata meskipun kawasan itu dilanda hujan setiap hari namun mereka tidak mahu melepaskan peluang lima tahun sekali itu untuk menunaikan pilihan raya kali ini.
Terdahulu, Calon Gabungan Parti Sarawak GPS Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah tiba di Pusat Mengundi SK Melayu Pusat pukul 8 pagi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Racha Balang mengundi di Pusat Mengundi Dewan Masyarakat Medamit.
Parlimen Limbang merekodkan seramai 41, 999 orang pengundi berdaftar yang layak mengundi dan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara GPS dan PH.
Kawasan Limbang membabitkan 53 lokasi mengundi, 101 saluran pusat mengundi.
Pusat mengundi ditutup pada pukul 6 petang tadi.