fb fb fb fb fb

Semua pihak dinasihat elak provokasi, isu 3R ketika berkempen - Saifuddin Nasution

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

CHERAS, 27 April- Semua parti dan penyokong yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu diingatkan agar tidak menimbulkan sebarang unsur provokasi termasuk memainkan isu 3R (agama, kaum dan raja) yang boleh mencetuskan ketegangan sepanjang tempoh berkempen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan apa sahaja elemen negatif yang boleh mengancam ketenteraman awam perlu dielakkan.

“Apa juga elemen yang bersifat membinasakan, yang tidak sesuai diungkap dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum, maka kita sarankan semua pihak untuk elak dan jauhkan.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah pun mengambil langkah awal dengan bertemu pasukan yang bertugas sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Percegahan Jenayah di Flat Sri Sabah, Cheras di sini hari ini.

Menerusi program sehari itu diisi dengan acara sambutan Aidilfitri, memfokus kepada elemen pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat setempat.

Turut diadakan, penyerahan sumbangan kepada mangsa insiden kebakaran dalam kejadian Februari lalu dan sumbangan bakul makanan.

Dalam pada itu Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata Pang Sock Tao adalah calon tepat bagi mewakili gabungan politik berkenaan berdasarkan latar belakang akademik dan pengalaman kerja beliau.

“Saya percaya pemilih di Kuala Kubu Baharu akan membuat penilaian yang munasabah kerana calon ini muda, ada pengalaman kerja yang baik, merupakan anak kelahiran negeri Selangor, ada latar belakang pendidikan yang bagus serta mempunyai pengalaman berkhidmat dalam parti dan dalam kerajaan,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (PH), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

ZEHRA BINTI ZAMBRI