fb fb fb fb fb

PRK Kuala Kubu Baharu: Masa untuk BN, UMNO balas jasa PH – Wan Rosdy

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Moh Karnival Makmur 2024 Daerah Bera di Laman Kerayong, Bera/ Foto: FB Wan Rosdy bin Wan Ismail

BERA, 27 April- Pasukan Parti Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan turun membantu calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor.

Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata BN akan berusaha sebaik mungkin bagi membantu calon PH dengan memfokuskan kawasan tertentu yang dikenal pasti.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata sudah tiba masanya UMNO dan BN membalas jasa PH yang telah membantu calon pada PRK Pelangai, 7 Oktober tahun lalu.

“ Barisan Nasional, UMNO khususnya membalas balik sokongan mereka yang kerja kuat, parti daripada PH semasa PRK Pelangai tempoh hari kerana saya dapati semasa PRK itu, PH secara 'all out' membantu calon kita jadi pada PRK DUN Kuala Kubu ini kita akan berusaha sebaik mungkin, kita akan fokus kawasan- kawasan seperti orang Asli dan sebagainya," katanya.

Wan Rosdy ditemui pemberita selepas merasmikan Moh Karnival Bera di dataran Kerayong, di sini, hari ini.

PRK DUN Kuala Kubu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Pang Sock Tao; calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, calon bebas iaitu Nyau Ke Xin serta calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin. 

Hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei depan manakala hari pengundian pada 11 Mei.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI