fb fb fb fb fb

Elak komen keterlaluan, sentuh isu 3R sepanjang tempoh PRK- Fahmi

Fahmi bercakap dalam sidang media selepas program Jiwa Madani di Kuala Perlis

KUALA PERLIS, 27 April- Masyarakat, khususnya pengguna media sosial dinasihatkan supaya tidak memuat naik serta membuat sebarang komen keterlaluan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN 06 Kuala Kubu Bharu.
 
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak agak mengambil tindakan sekiranya ada yang berbuat demikian.

Ujar beliau, SKMM telah diarahkan supaya meningkatkan pemantauan khususnya berkaitan Akta komunikasi sepanjang PRK itu berjalan.
 
Mana-mana pihak yang didapati melanggar undang undang berkenaan, akan dipanggil untuk siasatan selain peranti yang digunakan akan disita dan dihadapkan ke mahkhamah.
 
"Saya harap rakyat Malaysia ambil iktibar daripada siri kes yang telah dibawa ke mahkamah, mereka yang meletakkan komen yang keterlaluan hingga dikenakan denda yang amat tinggi, dan jika gagal membayar denda, hukumannya adalah penjara.

"Jadi saya bagi peringatan sempena tempoh kempen ini, berkempenlah dengan sihat, berkempenlah dengan fakta, elak daripada menyatakan perkara perkara berkait dengan isu 3R,sama ada menyentuh raja raja,agama dan juga kaum,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jiwa Madani di Kuala Perlis, Perlis.
 
Pada majlis berkenaan, sebanyak 45 Pengerusi Komuniti Madani di seluruh Perlis menerima surat watikah pelantikan.
 
Ia bertujuan sebagai mata dan telinga kerajaan selain sebagai penyalur maklumat kepada akar umbi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE