fb fb fb fb fb

Seluruh rakyat Johor disaran turun mengundi 12 Mac ini

JOHOR BAHRU, 10 Mac- Calon-calon Pilihanraya Umum Dewan Negeri Johor ke-15 mengambil kesempatan ruang kempen bukan sahaja untuk memperkenalkan diri kepada pengundi tetapi juga peluang mengingatkan orang ramai keluar mengundi pada 12 Mac ini.

Calon Barisan Nasional (BN) N47 DUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani misalnya, menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan merancang waktu untuk keluar mengundi.

"Saya amat menggalakkan pengundi supaya keluar sebelah pagi disebabkan waktu petang cuaca mendung dan hujan. Jadi saya harapkan supaya pengundi seluruh Kempas dan Johor supaya keluar mengundi di waktu pagi," kata Datuk Ramlee kepada pemberita RTM.


(Calon Barisan Nasional (BN) N47 DUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani menyantuni penduduk di kedai makan)

Tidak terkecuali calon Perikatan Nasional, PN di Kempas, Nur Faizal Abdullah yang menumpukan kepada penggunaan aplikasi dalam talian untuk mendekati pengundi baharu.

"Itulah tujuan kita, bagi penerangan kepentingan mengundi supaya mereka sedar yang undi mereka penting kepada masyarakat dan kepada mereka untuk memperkasakan kepentingan belia itu sendiri," kata Faizal kepada RTM.


(Calon Perikatan Nasional (PN) di N47 DUN Kempas, Nur Faizal Abdullah bersama jentera mempergiat usaha sebelum hari mengundi)

Tujuh calon bertanding di Dewan Negeri Kempas melibatkan calon Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan tiga calon bebas.

Calon parti Pejuang di N40, Tiram, Datuk Abdul Aziz Harun pula menaruh kepercayaan terhadap kempen konversional bagi memudahkan calon daripada parti baharu memperkenalkan diri kepada masyarakat.

"Lagi dua hari ini agak macam tertekan kerana masih banyak tapi itu bukan alasan kerana semua dapat sama rata bukan saya seorang. Bukan saya seorang diberi dua hari tapi pesaing lain juga," kata Datuk Abdul Aziz kepada media RTM.


(Calon parti Pejuang di N40, Tiram, Datuk Abdul Aziz Harun menyantuni serta memperkenalkan diri kepada penduduk)

Di Tiram, menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Pejuang, BN, PN, PBM, PH dan dua lagi calon bebas.

Media Baharu