JOHOR BAHRU, 10 Mac - Lebih 2.539 juta pengundi biasa diminta menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor, Sabtu ini.
Pengundi disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak menasihatkan pengundi supaya tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.
"Bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan. Para pengundi juga disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui tiga saluran disediakan iaitu portal semakan daftar pemilih, aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR di talian 03-88927018," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengundi juga dinasihati mengundi mengikut masa yang dicadangkan SPR.
"Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.
"Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti," menurut kenyataan itu.
(Proses undi awal 8 Mac lalu/BERNAMA)
Dalam masa sama, pengundi turut dinasihatkan untuk menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing.