(Calon-calon bertanding kerusi P041 Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 5 November- Penyandang kerusi parlimen P041 Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan ditentang tiga calon lain menerusi pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tiga calon tersebut ialah Danial Abd Majeed daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Siti Mastura Mohamad mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Hamidi Abdul Hassan daripada Gerakan Tanah Air (GTA).
Pengesahan kesemua empat calon diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) P041 Parlimen Kepala Batas, Zuklifli Rashid.
Datuk Seri Reezal Merican mengekalkan kerusi Parlimen Kepala Batas untuk dua penggal sebelum ini iaitu pada PRU 2013 dan 2018.
PRU 2018 lalu menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Zaidi Zakaria dan calon Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dr Siti Mastura Mohamad serta Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mewakili Barisan Nasional (BN).
Datuk Seri Reezal ketika itu menang dengan majoriti 4,736 undi.
Aktiviti kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11:59 malam, 18 November.
Pulau Pinang menawarkan keseluruhan 13 kerusi parlimen.
(Penyandang kerusi P041 Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
bersama penyokong BN)