fb fb fb fb fb

PRU15: Perdana Menteri Ismail Sabri berdepan saingan tiga penjuru di Parlimen Bera

(Senarai rasmi calon bertanding bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya
Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamet Sarif pukul 11:23 pagi di Pusat
Penamaan Calon, Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera)

BERA, 5 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhadapan dua pencabar, masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam misinya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mewakili Barisan Nasional (BN) dalam saingan tiga penjuru itu, beliau yang merupakan penyandang kerusi sejak 2004 ditentang calon Abas Awang (PH-PKR) dan Datuk Asmawi Harun (PN-Bersatu).

Senarai rasmi calon bertanding bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamet Sarif pukul 11:23 pagi di Pusat Penamaan Calon, Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini.

Terdahulu, Zaman Azam mengumumkan calon boleh menyerahkan borang pencalonan bermula pukul 9:00 pagi dan tamat sejam kemudian.

Ismail Sabri yang sedondon berpakaian biru bersama isterinya Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.55 pagi, ditemani tiga calon BN bagi DUN di bawah Parlimen Bera serta ratusan penyokong parti yang membawa bendera parti sebagai tanda sokongan. 

Asmawi dan Abas bersama calon-calon DUN parti masing-masing dan penyokong mereka tiba di pusat penamaan itu pada pukul 8.30 dan 8.50 pagi.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ((tengah)berhadapan dua pencabar,
masing-masing daripada PH dan PN dalam misinya untuk mempertahankan
kerusi Parlimen Bera pada PRU15)

Lebih 1,000 penyokong semua parti bertanding berkumpul di pekarangan dewan bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Seramai 77,669 pengundi akan menunaikan tanggungjawab 19 November depan.

Daripada jumlah itu, 76,860 merupakan pengundi biasa, 3,521 pengundi tentera dan pasangan, 279 pengundi polis dan pasangan, dan 9 orang pengundi luar negara.

Sebelum menyerahkan borang penamaan Ismail Sabri berkumpul di Dataran Bera bersama penyokong-penyokongnya dan bertemu jentera Jalinan Rakyat di Kompleks Umno Dewan Padang Luas selepas selesai proses penamaan calon.

Pada pilihan raya umum 2018, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menang dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti 2,311 undi, menewaskan calon PKR Zakaria Abdul Hamid yang mendapat 18,499 undi manakala calon PAS Musaniff Ab Rahman memperoleh 8,096 undi.

Media Baharu