fb fb fb fb fb

Rangkuman undi awal seluruh negara, 2 anggota ATM positif di Sg Buloh

(Antara sebahagian daripada 35 pengundi yang selesai melaksanakan
tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi Parlimen Jerlun)

KUALA LUMPUR, 15 November - Sejumlah 224,828 orang pengundi awal yang terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 orang polis serta pasangan layak menunaikan tanggungjawab mereka di 578 pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Ikuti liputan proses pengundian awal bersama-sama wartawan RTM yang melaporkan dari seluruh negara.

Dimulakan dengan proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, Sabah.

Setakat pukul 9.00 pagi tadi, 16 peratus daripada 224, 828 anggota keselamatan dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Di Sarawak pula, sebanyak 114 pusat pengundian awal dibuka bermula pukul 8.00 pagi tadi bagi membolehkan anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mengundi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Sarawak di sini berkata terdapat 103 saluran mengundi serta 55 pusat pengundian awal bagi polis dan pasangan mereka di negeri ini.

Di Kuala Lumpur, seramai 2,041 anggota tentera serta pasangan membuat pengundian awal pada hari ini di Kem Kementah, Desa Tun Hussein Onn.

Para pengundi awal telah memenuhi kaunter pendaftaran dan beratur seawal pukul 7.30 pagi dan dengan sebanyak 4 saluran mengundi disediakan

Di Kuala Selangor, seramai 391 anggota polis dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab kewajipan sebagai pengundi di kawasan itu sejak awal pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat pukul 1.00 tengah hari tadi tadi, statistik keluar mengundi bagi parlimen Kuala Selangor adalah sebanyak 70 peratus.

Di Sungai Buloh, seramai 532 anggota dan pegawai PDRM mengundi awal di Balai Polis Kg Baru Subang, Sg Buloh.

Pada masa sama, satu laluan khas untuk pesakit COVID-19 tidak kritikal juga dibuka tetapi dengan arahan pegawai kesihatan.

Sementara itu, dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Sungai Buloh yang melaksanakan undi awal dikenal pasti positif COVID-19.

Kedua-dua anggota tersebut diiringi oleh pegawai kesihatan mengikuti laluan khas kaunter COVID-19 untuk melaksanakan undi awal.

Selesai mengundi mereka diarah pulang dengan segera.

Sementara itu di Kem Sungai Buloh, seramai 1,025 anggota dan pegawai ATM termasuk pasangannya mengundi awal di kem tersebut.

(Kaunter khas untuk pengundi positif COVID-19 di Kem Sg Buloh)

Di Butterworth pula, seramai 2,485 orang pengundi terdiri daripada anggota TUDM dan pasangan bakal menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Dewan Sri Bayu, TUDM Butterworth.

Pusat mengundi awal terletak di Parlimen P042 Tasek Gelugor dan merupakan tempat pengundi awal paling ramai di Pulau Pinang dengan membabitkan 5 saluran secara keseluruhan.

Cuaca di Pulau Pinang, walaupun hujan renyai sejak awal pagi tadi, namun keadaan itu sedikit pun tidak mematahkan semangat 4,435 anggota ATM untuk menunaikan tanggungjawab.

Anggota tentera yang terlibat dalam proses undian awal diadakan di Dewan Konvo Rejimen Divisyen 2 di Sungai Ara.

(Anggota Tentera Udara Malaysia (TUDM) antara pengundi awal di Butterworth hari ini)

Di Melaka, seramai 12, 601 pengundi berdaftar melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pemilih awal hari ini di 31 pusat mengundi seluruh negeri itu.

(Pengundi awal di Perak)

Di Perak, seramai 31, 291 anggota polis dan tentera serta pasangan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di 72 pusat mengundi seluruh negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata daripada jumlah tersebut 12, 215 adalah warga PDRM manakala 19, 076 lagi pengundi anggota tentera.

(Anggota Tentera di Perak)

Sementara itu di Alor Setar, Kedah meskipun cuaca hujun turun di beberapa kawasan pada sebelah pagi namun proses mengundi awal berjalan lancar.

Seramai 14, 674 pengundi terdiri daripada pegawa dan anggota keselamatan keluar mengundi.

Daripada jumlah itu, 6, 041 merupakan pegawai dan anggota polis kontinjen Kedah serta pasangan.

(Anggota Tentera yang mengundi awal di Pekan pagi tadi)

Di Cameron Highlands, Pahang seramai 353 anggota PDRM dan anggota tentera menunaikan tanggungjawab dengan mengundi awal di tiga lokasi iaitu 235 anggot polis di Bilik Maklumat Balai Polis Brinchang.

Daripada jumlah itu, seramai 105 anggota tentera mengundi di Dewan Sri Gunung, Kem Slim Tanah Rata dan seramai 13 anggota polis di Bilik Maklumat Balai Polis Sungai Koyan, Lipis.

Manakala di Pekan, sebanyak tiga pusat pengundian dibuka dengan menggunakan tiga blok bangunan Sekolah Pengkalan Tentera di Pangkalan Udara Kuantan sebagai pusat pengundian awal bagi Dun Pulau Manis.

Seramai 6,132 pemilih melibatkan anggota keselamatan dan pasangan keluar sejak pukul 8 pagi tadi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,941 anggota tentera darat, 2,153 tentera udara dan 38 anggota polis.

Setakat pukul 1.00 tengah hari, statistik keluar mengundi bagi Undi Awal PRU Ke-15 adalah sebanyak 78 peratus, merangkumi data dari seluruh negara.

Media Baharu