(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ditemu bual media selepas mengundi dan
meninjau proses pengundian awal di Bukit Aman, pagi tadi)
KUALA LUMPUR, 15 November - Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan proses pengundian awal warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini adalah teratur dan terkawal.
Jelasnya lagi, pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memaklumkan proses kali ini paling sistematik berbanding sebelum ini.
"Hasil laporan, saya terima dari 970 laporan melibatkan 661 tempat mengundi di seluruh negara, kita dapati bahawa suasana dalam keadaan teratur dan dari maklum balas pemerhati SPR, mereka memberitahu proses undi awal tahun ini antara proses paling sistematik dan berjalan dengan lancar," kata beliau ketika ditemui selepas mengundi dan meninjau proses pengundian awal di Bukit Aman, di sini pagi tadi.
(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani selesai mengundi di Bukit Aman, pagi tadi)
Turut hadir bagi memantau proses pengundian awal pagi tadi adalah kesemua calon yang bertanding di Parlimen Lembah Pantai.
Seramai 118,000 pegawai dan anggota terbabit dalam proses pengundian awal di seluruh negara.
Manakala di Bukit Aman sahaja, sejumlah 6,423 pegawai dan anggota menjalani proses pengundian awal, manakala 1,511 pemilih lagi sebagai pengundi pos.