fb fb fb fb fb

Ramli Mohd Nor kekal terima mandat rakyat di Cameron Highland

CAMERON HIGHLANDS, 20 November- Penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands (P.078), Datuk Ramli Mohd Nor mempertahankan kerusi yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Calon Barisan Nasional itu merupakan satu-satunya Ahli Parlimen daripada komuniti masyarakat orang asli berjaya memenangi 16,120 undi dengan majoriti 4,544 undi menewaskan wakil Pakatan Harapan (PH), Chiong Yoke Kong yang meraih 11,576 undi dan Dr Abdul Rasid Mohamed Ali daripada Perikatan Nasional (PN) 5,569 undi.

Pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)bagi Parlimen P.078 Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman mengumumkan keputusan itu di Dewan Gemilang, SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata pada jam 2.00 pagi tadi.

"Undi ditolak ialah 850, majoriti 4,544 peratus pengundian berbanding dengan jumlah pemilih ke titik perpuluhan terdekat ialah 74.29% dengan ini saya mengistiharkan bahawa Datuk Ramli Mohd Nor daripada parti BN telah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi bahagian Pilihan Raya Parlimen P.078 Cameron Highlands," kata Syed Ahmad Khirulanwar dalam sidang media SPR, di sini.


(Foto FB Ramli Mohd Nor)

Sementara itu, kerusi panas Dewan Negeri (DUN) N.02 Jelai menyaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga mempertahankan kerusi dimenangi sejak 2004.

Beliau memperoleh sebanyak 10,092 undi dengan majoriti 6,983 undi menewaskan calon PH, Ismail Mohd Hussin yang meraih 1,465 undi dan Dr Abdul Rasid Mohamed Ali 3,109 undi.

Bagi kerusi Dewan Negeri (DUN) N.01 Tanah Rata menyaksikan Ho Chi Yang daripada PH meraih 9,856 undi dengan majoriti 2,484 undi menewaskan calon BN, Wong Yap Wah yang meraih 7,372 undi dan Lai Chii Wen daripada PN yang memperoleh 1,353 undi.

Menurut data SPR, peratusan keluar mengundi bagi Parlimen Cameron Highlands ini adalah sebanyak 73.27 peratus merangkumi seramai 33,454 orang pengundi.

Media Baharu