MUAR, 7 Mac- Rakyat Johor akan mendapat capaian internet dengan lebih baik tidak lama lagi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata RM4 bilion juga akan diperuntuk bagi menaik taraf rangkaian telekomunikasi di negeri Johor.
"Tiga haribulan lepas, kita tutup tender untuk pasang jaringan fiber optik di seluruh negeri Johor yang menelan belanja RM700 juta untuk menaikkan taraf jaringan internet yang lebih baik dan itu akan makan masa beberapa bulan. Insya-Allah, langkah jangka pendek untuk menaikkan kelajuan internet dengan segera di kawasan ini kita akan buat," kata Annuar ketika pertemuan bersama pengundi di kawasan Dewan Negeri Gambir, di sini.
(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional turun bertemu calon BN Maharani dan BN Bukit Naning/FBMENTERI)
Dalam pada itu, Tan Sri Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional turut berkata BN sudah terbukti mempunyai banyak pengalaman dalam mentadbir negara.
Pengalaman lebih 60-tahun memerintah, menjadikan BN amat memahami kehendak rakyat di peringkat akar umbi.
"Kita harus jaga, jaga keharmonian, jaga hati nurani rakyat baik orang Melayu, Cina, India orang Jawa, orang Kadazan, orang Murut perlu dijaga, orang asli perlu dijaga, orang miskin kena jaga, orang kaya kena jaga, petani, peniaga. Termasuklah, dalam negara dan luar negara kena jaga. Pasukan keselamatan seperti askar, polis kena jaga. Tidak mudah untuk menguruskan kerajaan," tambahnya.