(Persiapan SPR bagi proses undi awal esok/BERNAMA)
JOHOR BAHRU, 7 Mac - Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor bermula 8 pagi esok.
Ia menyaksikan 22,531 anggota polis, tentera, pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Proses berlangsung di 63 Pusat Pengundian Awal melibatkan 82 saluran mengundi.
Ia melibatkan 34 buah balai polis, 13 Ibu Pejabat Polis Daerah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen, lima kem tentera, tiga dewan serbaguna PGA, dua dewan tentera, dua pusat latihan Palapes dan masing-masing satu sekolah, auditorium dan markas Marin.
Sebanyak 29 buah pusat mengundi akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, 8 buah pusat mengundi dari pukul 8 pagi hingga 2 petang dan baki 26 buah pusat mengundi awal akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengekang penularan COVID-19, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan semua individu yang hadir perlu mengimbas QR kod MySejahtera dan melalui saringan gejala.
Individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau susah bernafas perlu diasing dan ditempatkan di tempat khas untuk tindakan lanjut.
(Persiapan akhir petugas SPR untuk proses undi awal esok/BERNAMA)
Selain itu, semua pengundi perlu menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan di khemah saringan pusat mengundi dan pintu masuk saluran (mengundi).
Mereka turut perlu menggunakan cecair itu selepas jari telunjuk kiri dicelup dalam dakwat kekal, iaitu sebelum pengundi menerima kertas undi dan di pintu keluar pusat mengundi.
Bagi kawalan kehadiran di pusat mengundi, ejen parti atau calon, yang telah selesai bertugas, atau pengundi yang telah selesai mengundi perlu segera meninggalkan kawasan tersebut.
Hanya lima pemerhati pilihan raya dibenarkan berada di dalam satu-satu pusat mengundi pada satu-satu masa.
Sementara itu, esok Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca hujan di beberapa daerah iaitu Tangkak, Muar dan Batu Pahat di sebelah pagi.
Manakala, ribut petir di kebanyakan kawasan di negeri ini di sebelah petang.