(Dr Lily Rafidah)
JOHOR BAHRU, 7 Mac - Pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor.
Ketua Penolong Pengarah Unit Kawalan Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Lily Rafidah Mohamed Zaki berkata jangkitan COVID-19 di negeri ini masih terkawal.
Menurutnya, Johor antara negeri mencatatkan kadar vaksinasi dan pemberian dos penggalak yang tinggi.
Lebih 80% populasi dewasanya telah lengkap vaksinasi, manakala lebih 52% lagi telah menerima dos penggalak.
(Petugas SPR membuat persiapan akhir untuk proses undi awal esok/BERNAMA)
Kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan pula hanya melibatkan kes tidak bergejala atau bergejala ringan. Kurang 1% kes dalam kategori tiga, empat dan lima.
"Prosedur Operasi Standard (SOP) PRU Dewan Negeri Johor telah disediakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan pilihan raya dapat berjalan dengan selamat dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.
"Sekiranya semua pihak terutama parti dan pengundi memahami dan patuh kepada SOP, kita yakin penularan COVID-19 dapat dikurangkan," katanya kepada RTM.