CHUKAI, 25 November- Sebagai bekas tentera, tawaran menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) diibarat satu ‘call of duty’, kata Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Beliau berkata tidak mudah membuat keputusan menerima tawaran itu, namun akhirnya bersetuju bertanding demi pembangunan Kemaman dan kebajikan penduduknya.
“Saya dah selesa hidup, saya punya wang pencen, cukup. Alhamdulillah, pada masa sama saya juga Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
“Tetapi saya terima itu, kerana bagi saya ini adalah pengorbanan saya untuk Kemaman. Jadi kalau saya mari sini, saya berkorban, jadi berkorbanlah untuk beri saya peluang mewakili orang Kemaman,” katanya semasa berceramah di Bukit Kuang pada kempen PRK Parlimen Kemaman, dekat sini, malam tadi.
Ceramah itu turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hari mengundi PRK Kemaman yang ditetapkan pada 2 Disember ini menyaksikan Raja Mohamed Affandi berdepan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.