KOTA TINGGI, 17 November - Lebih 8,000 pegawai dan anggota polis di Johor akan bertugas semasa hari mengundi, Sabtu ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kawalan di sempadan perairan negeri sepanjang 210 kilometer turut diperketat bagi mengelak dibolosi.
"Kita akan pastikan bahawa sempadan kita tidak akan dibolosi oleh mana-mana pihak semasa kita menentukan pilihan raya kita berjalan lancar...oleh itu janganlah mereka hendak mengambil kesempatan ini," kata Kamarul kepada pemberita ketika melakukan tinjauan sempadan perairan negara bersama agensi penguatkuasa sempena PRU15 di Pos Tanjung Sepang, Bayu Damai, di sini.
Dalam pada itu, bagi mengawal kelancaran aliran trafik keluar-masuk di pintu sempadan Malaysia-Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) sempena PRU15, sebanyak 28 kaunter di Zon A, B dan C akan beroperasi sepenuhnya bermula pukul 5.00 petang esok sehingga pukul 12.00 tengah hari, sabtu ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata empat kaunter manual sebelum ini telah ditambah menjadi 10 kaunter yang beroperasi untuk warga negara Malaysia.
Manakala pergerakan bas dan penumpang merentas sempadan Singapura ke Johor Bahru hanya dibenarkan turun di kawasan ketibaan yang telah ditetapkan.
"Pengundi yang pulang ke tanah air juga dinasihat mengikuti jadual perjalanan disediakan bagi mengelak kesesakan di BSI," katanya.