fb fb fb fb fb

PRU15: Polis Sabah ketatkan kawalan di 10 kawasan panas sepanjang kempen

KOTA KINABALU, 4 November - Polis akan mengetatkan kawalan di 10 kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas di Sabah sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata kawasan dikenal pasti adalah Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Papar, Kudat, Libaran, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

“Seramai 7,028 anggota Polis Diraja Malaysia di Sabah akan bertugas sepanjang berlangsungnya PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaaan calon bagi PRU15 dan PRK DUN Bugaya pada esok, pengundian awal pada 15 Nov manakala hari pengundian pada 19 Nov.

Calon boleh berkempen selama 14 hari bermula 5 Nov hingga 11.59 malam pada 18 Nov dengan mematuhi undang-undang serta peraturan kempen.

Idris berkata penugasan anggota keselamatan semasa proses penamaan calon esok melibatkan seramai 2,141 anggota di 26 tempat yang dijadikan sebagai pusat penamaan calon.

“Penyokong bagi setiap parti politik yang hadir di pusat penamaan juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang provokasi, tidak meletakkan kenderaan yang menghalang lalu lintas dan penggunaan dron juga tidak dibenarkan,” katanya.

Idris berkata polis telah mengenal pasti 86 kawasan di negeri itu yang sukar dilalui oleh kenderaan dan memerlukan perkhidmatan helikoptar untuk membawa peti undi. - BERNAMA

Media Baharu