(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)
BERA, 11 November- Calon-calon yang berkempan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) diingatkan supaya tidak alpa sebaliknya mengambil langkah berhati-hati ketika berkempen bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata. semua pihak juga digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika berkempen khususnya di tempat sesak walaupun tidak diwajibkan bagi melindungi diri sendiri dan juga orang lain.
"Dalam berkempen, jangan lupa COVID-19 masih berada di sekitar kita. Kita tak tahu siapa yang sedang dijangkiti dalam kalangan kita semua.
"Saya berharap kita berhati-hati, sanitasikan tangan seperti sewaktu kes COVID-19 masih tinggi," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama komuniti orang asli di Kampung Bongkok, Kemayan Bera, di sini.
(Perdana Menteri yang juga Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bera P090 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
melambaikan tangan selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama penduduk orang asli
sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bilik Gerakan Kampung Bongkok/BERNAMA)
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini memaklumkan kementeriannya akan terus memantau peningkatan kes COVID-19 sepanjang kempen PRU15 selain mengemaskini pendekatan yang akan diambil bagi mengekang penularan virus itu.
Walaupun kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan, namun keadaan masih terkawal berdasarkan kepada data kemasukan pesakit ke hospital akibat jangkitan yang rendah.