fb fb fb fb fb

Polis keluarkan 360 permit ceramah PRU15 di Kelantan

(Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah)

PASIR MAS, 11 November- Polis Diraja Malaysia telah mengeluarkan 360 permit ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat petang Jumaat di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata bagi kempen melibatkan tinjauan mesra dan program ziarah rumah ke rumah, calon hanya perlu membuat permohonan secara bertulis sekali sahaja dan memaklumkan lokasi serta masa dalam tempoh berkempen ini.

"Perkara ini dijalankan bagi mengelakkan calon bertembung semasa berkempen.

"Bagaimanapun kami tidak bimbang dengan budaya politik di Kelantan kerana calon berpolitik secara matang, malah masih boleh bertegur sapa antara satu sama lain jika bertembung, tiada masalah, semuanya saling mengenali," katanya.

Beliau bercakap demikian kepada  pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara  (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh, Rantau Panjang, di sini.

Muhamad Zaki turut menasihatkan calon-calon yang berkempen tidak menimbulkan provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman sepanjang PRU15 ini.

"Kebanyakan calon yang bertanding adalah calon tempatan, saya yakin mereka tahu budaya negeri ini dan tidak akan timbulkan provokasi," katanya.

(Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (kanan) melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara
 (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh, Rantau Panjang)


Sementara itu berhubung perkembangan banjir di negeri itu, Muhamad Zaki berkata, dua PPS sudah dibuka iaitu di SK Gual To' Deh dan di SK Kelewek, Tanah Merah.

'Penduduk perlu berhati-hati dengan situasi banjir di Rantau Panjang kerana paras air di Sungai Golok semakin meningkat," katanya.


Media Baharu