KEPALA BATAS, 11 November -Pengusaha hotel di sini mendapat limpahan rezeki apabila menerima permintaan tinggi pada musim pilihan raya sejak parlimen dibubarkan pada 9 Oktober lalu.
Banyak tempahan diterima daripada jentera pilihan raya selain tempahan pelancong pada hujung minggu.
Bak kata pepatah, bagaikan durian runtuh, begitulah situasi yang dilalui oleh pengusaha hotel tempatan selepas hampir lumpuh akibat pandemik COVID-19.
Ini sekali gus menyuntik semangat pengusaha hotel di kawasan ini yang kebanyakan baru bertapak kurang dari tiga tahun selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Rata-rata pengusaha hotel yang ditemui RTM berkata ketibaan musim pilihan raya memberi impak kepada sumber ekonomi mereka selain bergantung dengan kedatangan pelancong ke kawasan itu.
Seorang pengusaha hotel dikenali sebagai Siti Zulaikha Mohd Nazly berkata bilik hotel habis ditempah sepanjang pilihan raya kali ini.
"Kalau nak dibandingkan pada tahun sebelumnya memang berbeza. Awal-awal pembukaan hotel dahulu, tak sangka tempahan hotel dan jualan akan sebanyak ini. Lebih-lebih lagi bila minggu biasa memang bilik penuh, setiap malam pun ada orang bertanya bilik ada kosong atau tidak," katanya kepada RTM.
Mohd Hafizi Husin pula berkata sebanyak 23 bilik hotelnya habis ditempah dengan kehadiran pelanggan yang juga sebahagian daripada orang yang datang berkempen .
"Alhamdulillah sekurang-kurangya saya mendapatkan semula modal yang telah hilang akibat kerugian ketika
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu," katanya.
Sementara itu Izan Othman akui menerima tempahan setiap hari sebelum dan selepas pada musim pilihan raya.
Rosmeme Razyirah Abd Razak pula berkata permintaan untuk tempahan hotel tinggi apabila masuk hujung minggu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Tempahan bilik hotel yang tinggi bukan sahaja memulihkan kembali industri hotel malah membantu ekonomi peniaga dan pengusaha kecil di semua kawasan selain di Kepala Batas.
Laporan khas wartawan Tuan Mohamad Ikram.